25 Oct 2011

cerpen 1 :: persoalan si kecil

“ Papa! Papa! Buat apa tu?” si kecil bertanya kepada bapanya.
“ Papa sedang gantung bendera ni. Kamu mahu bantu?”
“ Mahu. Mahu!” si kecil dengan girang membantu ayahnya. Diserahkan bendera satu demi satu kepada bapanya.
Setelah selesai menggantung bendera, si anak berlari ke dapur meminta minuman daripada si ibu. Mendulang air ke ruang tamu dan dihidangkan kepada suaminya yang keletihan. Rumah mereka telah pun dihiasi dengan bendera dan cantik dicat.
“ Mama, tadi Akiff tolong papa gantung bendera dan cat rumah.  Cantik mama. Papa ada lukis kat dinding gambar bendera, mama. Mama nak tengok?” bangga Akiff bercerita sesuatu yang baharu baginya bersama papanya.
Akiff anak tunggal dalam keluarga Zamarul dan Wanuraini yang berusia lima tahun. Akiff kanak-kanak yang sangat bertuah  dan istimewa kerana dia dilahirkan pada 31 Ogos dan selamat dalam pembedahan membuang ketumbuhan yang berlaku di bahagian otaknya ketika berusia dua tahun. Akiff juga dijangkakan tidak dapat hidup lama, namun dengan keajaiban Yang Maha Berkuasa Akiff telah diselamatkan. Selain itu, Akiff dianggap pembawa rezeki kepada keluarganya kerana setelah dia dilahirkan Zamarul telah dinaikkan pangkat dan Wanuraini dinaikkan gaji.
“ Papa, bendera itu untuk apa?” tanya Akiff untuk mengetahui fungsi bendera tersebut digantung.
“ Kita akan sambut merdeka, sayang. Tarikh kemerdekaan sama dengan tarikh Akiff lahir, tau. Kita akan sambut merdeka pada setiap tahun dan bendera tu tanda cinta kita pada Negara kita,” terang Wanuraini setelah melihat suaminya keletihan untuk menjawab pertanyaan anaknya.
“ Merdeka? Merdeka tu apa, mama?”
“ Merdeka tu adalah tanda Negara kita bebas daripada penjajah. Akiff tahu penjajah tu apa?” Akiff menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak tahu. Wanuraini menyambung, “ Penjajah tu orang bukan Malaysia yang datang sini nak ambil Malaysia. Nanti Akiff dah besar sikit, Akiff akan faham. Oleh itu, Akiff kenalah belajar rajin-rajin. Jadi pemimpin dan jangan bagi Malaysia dijajah lagi.”
 Petang telah pun berganjak bergantikan senja yang akan diambil alih oleh  malam. Burung-burung berkicauan berterbangan pulang ke sarang. Segelintir penghuni alam yang utama pula sibuk berhias diri untuk keluar makan malam dan ada yang masih mencari rezeki.
“ Akiff, nanti bila papa tak ada, kamu jangan nakal ya, sayang. Jaga mama kamu baik-baik, rajin belajar, jaga agama dan maruah keluarga ya, sayang. Papa sayang Akiff … ,” Zamarul berpesan kepada anaknya dan menyambung kepada isterinya tercinta, “… dan mamanya juga. Nur, ingat ya, bila abang tak ada nanti, jagalah anak kita ni baik-baik semoga dia jadi manusia berguna kepada masyarakat kelak. Biar dia dapat isteri yang cantik, pandai dan rajin macam isteri abang seorang ni,” sambil mencium kedua-dua insan yang dicintainya dengan penuh kasih sayang.
Malam itu, damainya suasana dan heningnya angin. Diterangi cahaya bulan yang menyinari bintang-bintang yang bergelipan di langit memenuhi langit malam seiring dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa memenuhi ruang udara. Zamarul duduk di beranda rumah sambil menatap gambar keluarga yang telah membuangnya kerana menikahi Wanuraini yang bukan pilihan keluarganya. Rasa rindu menyelinap di ruang hati membuatkan Zamarul menitiskan mutiara jernih membasahi pipi. Menadah tangan memohon keampunan kepada Ilahi atas segala dosa yang telah tertitik di hatinya. Begitu dalam di lubuk hatinya ingin pulang menemui keluarganya namun apakan dayanya untuk melihat jika isterinya diherdik dan mereka di usir dari rumah itu di hadapan anak mereka yang masih tidak tahu apa-apa. Lagi pula isterinya tiada keluarga.
Hanya seminit, hancur segalanya, hilang semuanya, pergi sudah insan-insan disayangi. Pagi yang penuh kemuliaan menyambut bulan penuh kehormatan, berkumpullah penduduk Jasin di tanah perkuburan dengan hati penuh sebak terpaksa merelakan pemergian cinta hati mereka. Ada juga mangsa ribut telah di hantar ke hospital berdekatan. Tangisan di sana-sini, esakan kanak-kanak yang inginkan pelindung mereka dikembalikan. Hanya air mata yang menemani mereka di saat itu. Lemahnya mereka untuk menerima keadaan itu, di saat bahagia tercipta, hanya dengan sekelip mata dia pergi untuk selama-lamanya. Retak hati mereka menerima nasib sebegitu. Jauh di segelinap sudut hati, mahu sahaja mereka ikut bersama.
Siapa sangka di awal Ramadan pada tahun ini bermula dengan air mata? Ribut yang melanda Jasin telah meragut nyawa segelintir penduduk.
“ Mama, kenapa mama menangis? Kenapa orang tu masukkan papa dalam tanah? Kenapa ramai orang dekat sini? Kenapa orang semua menangis macam mama? Kenapa mama?” pertanyaan si kecil dijawab dengan seribu persoalan. Hanya pelukan dan kucupan sebagai jawapan membuatkan si kecil semakin keliru. Soalan yang diajukan oleh si kecil semakin merancakkan si ibu menangis pilu. Hanya Akiff tempat dia mencurah segala kasih sayang dan teman Wanuraini sehingga Allah mencabut nyawa antara mereka berdua.
“ Akiff, mari makan, nak. Akiff mesti lapar, kan? Mama suap Akiff makan. Jom.”
“ Papa tak ikut kita ke, mama?” kebuntuan untuk memberi sebarang  jawapan. Si kecil seperti Akiff masih belum dapat memahami apakah yang sedang berlaku. Bagaimanakah untuk dia memberi jawapan?
“ Kita balik dulu ya, sayang.” Langkah dituruti si kecil, Akiff dengan penuh tanda tanya dan setiap kali ditanya pasti dijawab dengan persoalan.
Sepanjang Ramadan, sesetengah mangsa ribut terpaksa duduk di pusat mangsa-mangsa ribut sementara untuk mendapatkan rumah mereka kembali. Sesetengah mangsa pula menumpang di rumah saudara-mara mereka.

Sebulan berlalu . . . .

Apabila takbir bergema, menitislah air mata Wanuraini akan ketibaan syawal pada tahun ini tanpa diraikan bersama suami tercinta. Melihat Akiff berpakaian segak berbaju melayu berwarna hijau pokok pisang membuatkan hati wanita tersentuh akan kecomelan satu-satu puteranya. Demi amanah arwah suaminya, dia kuatkan semangat untuk menemui keluarga mertuanya. Walaupun peristiwa lima tahun yang lalu sungguh pahit dan sukar untuk dilupakan, namun anaknya perlu mengetahui siapa neneknya. Diterima atau diusir segalanya diserahkan kepada Ilahi yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Siapalah dirinya untuk meramal keadaan yang bakal dilalui. Mampu menadah tangan memohon perlindungan sahaja.
“ Assalamualaikum!”
“ Kau buat apa di sini? Minta sedekah? Kenapa? Dah miskin sangatkah?”
“ Mak, ini cucu mak. Akiff namanya, mak.”
“ Aku tak ada cucu nama Akiff. Kau pergi. Aku tak kenal kau. Dia bukan cucu aku,” beg dilempar, Akiff ditarik ke pintu pagar dengan kasar. Akiff menangis teresak-esak. Dihalau tanpa perikemanusiaan di pagi raya yang penuh makna. Seluruh keluarga Datin Zaiton melihat kejadian memalukan itu. Pilunya hati kerana dibuang seperti sampah, diherdik seperti peminta sedekah, dihalau seperti kucing kurap. Bencinya dia terhadap menantunya itu sehingga cucu yang mengalir darahnya juga dimusuhinya. Kejamnya Datin Zaiton melakukan sebegitu. 1 Syawal disambut dengan penuh kedukaan. Difikirkan merdeka adalah kedamaian tetapi masih ada juga yang ingin bermusuhan sesama darah daging sendiri.
“ Mama, tangan Akiff sakitlah. Siapa nenek jahat tu?”
“ Akiff, tak baik cakap macam tu. Tangan Akiff nanti mama urutkan ya. Jangan cakap nenek tadi tu jahat. Dia baik, Akiff.”
“ Kalau dia baik kenapa dia halau kita? Kenapa dia tarik tangan Akiff kuat-kuat? Dia marah-marah. Dia buat mama menangis,” sambil menyeka air mata mamanya. Wanuraini tersentak daripada lamunan dengan tindakan sepontan Akiff seolah-olah dia berasa suaminya yang sedang menyeka air matanya. Direnung wajah Akiff, mirip suaminya saling tak tumpah. Wajahnya berkacukan cina, matanya coklat bersinar, bibirnya yang kecil dan comel. Sering membuatkan hati perempuannya ceria, tenang dan bahagia.
“ Mama, janganlah menangis. Akiff kan ada. Nanti Akiff jaga mama, ya. Mama jangan menangis lagi.” Hanya sekuntum senyuman yang mampu terukir di wajahnya.
“ Mama, papa mana? Akiff rindu papa. Akiff nak jumpa papa. Papa tak sayang kita ke mama?” pertanyaan Akiff sekali lagi membuatkan Wanuraini terkesima dan terkedu. Akiff menunggu jawapan yang akan dilontarkan oleh ibunya.
“ Akiff, mari kita pergi masjid, sayang.”
“ Mama, mana papa?” masih mendesak ibunya untuk mendapatkan jawapan keberadaan papanya. Wanuraini terus berdiam memberi seribu persoalan yang tidak mampu untuk dijawabnya. Hatinya bertanya, ‘Perlukah aku memberi jawapan terhadap soalan anakku ini, ya Allah? Berdosakah aku kerana biarkan anak aku tertanya-tanya? Mengapa ini ujian terhadap diriku yang kau turunkan?’
“ Astaghfirullahalazim. Ampunkan aku, ya Allah kerana mempersoalkan ujian-Mu. Berikanlah aku kekuatan untuk menempuh liku-liku perjalanan yang akan ku tempuhi. Berikanlah perlindungan terhadap anakku ini sekiranya KAU mencabut nyawaku nanti. Bimbinglah dia ke jalan-MU. Turunkanlah rahmat-MU. Berikanlah dia kejayaan. Bukalah pintu hati mertuaku untuk menerima cucunya ini. Darah dagingnya sendiri. Hanya kepada-MU aku bermohon. Amin,” Wanuraini meraup wajahnya setelah selesai berdoa dan menyeka air matanya.
“ Mama, mana papa?” sekali lagi soalan itu disuarakan oleh Akiff. Dia perlukan jawapan terhadap soalannya itu bukan persoalan.
Terkelu lidah untuk berkata-kata. Tubuh Akiff terus dirangkul dalam pelukannya. Memahami kerinduan si kecil akan papanya kerana mereka begitu erat walaupun papanya sentiasa sibuk dengan tugasan luar. Setiap hujung minggu, mereka sekeluarga pasti akan keluar bersama-sama mengisi masa terluang. Bahagianya rasa di saat manis begitu. Gelak ketawa si kecil, keletah si kecil dan begitu agresif di saat itu. Namun sekarang, segalanya berubah. Sampai bila kesedihan ini akan menguasai diri, dia sendiri pun tidak tahu.
“ Merdeka! Merdeka! Merdeka!” laungan kemerdekaan yang ditonton Akiff menerusi televisyen. Begitu bersemangat Akiff melaungkannya. Tiba-tiba.....
“ Mama!”
“ Ya sayang.”
“ Mana papa? Papa akan sambut merdeka dengan Akiff, kan?” sekali lagi. ‘Akiff,sampai bila kamu akan berhenti daripada menanyakan soalan itu? Mama tak mampu nak jawab Akiff. Bukan masanya Akiff.’
“ Mama!”
“ Akiff, nanti mama beritahu. Akiff pergi masuk tidur, dah lewat ni. Esok ikut mama ya, sayang.” Kucupan diberi dan Wanuraini menidurkan anaknya. Mata mula bersinar dengan kejernihan air mata yang mula berlenang di kelopak mata.
“ Abang, sebulan sudah abang pergi. Akiff sering bertanyakan abang. Nur tak mampu nak jawab abang. Nur tak mampu. Maafkan Nur abang. Nur tak mampu nak lihat Akiff akan menangis dan murung. Dia masih kecil lagi dan pasti tak akan faham situasi sebenar. Esok, Nur akan bawa Akiff melawat kubur abang, ya. Nur harap abang ditempatkan di sisi insan-insan yang beriman,” mengucup gambar suami tercintanya. Rindu menguasai diri. Menahan esakan kerana tidak mahu mengganggu tidur puteranya tercinta.
“ Ya Allah, ku bersujud kepada-Mu. Ku menadah tangan memohon keampunan dan pertolongan-Mu. Pada malam yang akan ENGKAU makbulkan doa seisi hamba-Mu yang menadah tangan kepada-MU. Ampunilah dosa-dosa ku, kuatkanlah imanku, kuatkanlah aku untuk menempuhi ujian-ujian MU. Tempatkanlah suamiku di tempat selayaknya bersama orang yang beriman. Berilah perlindungan kepada anakku ini. Berikanlah keceriaan dalam dirinya. Amin..”
Wanuraini membawa Akiff ke tanah perkuburan. Setelah membaca surah yassin dan menabur bunga ke atas pusara suaminya, Wanuraini memandang sayu anaknya.
“ Akiff mahu tahu papa di mana?” menguatkan diri untuk beterus-terang.
“ Mahu! Mahu!”
“ Papa kat dalam ni. Allah dah ambil papa. Papa tak akan kembali. Papa dah meninggal.”
“ Akiff tak fahamlah mama.”
“ Akiff, sekarang mungkin Akiff tak faham. Bila Akiff dah dewasa, nanti Akiff akan mengerti. Setiap yang hidup, pasti akan mati. Akiff pun akan macam ini juga suatu hari nanti. Mama pun akan begitu. Nanti, kalau mama tak ada, Akiff duduk dengan kakak Amirah ya.”
“ Mama, Akiff tak faham.” Senyuman terukir di bibir untuk kekasih hatinya. Dalam perjalanan pulang, Wanuraini, Akiff dan Amirah terlibat dalam kemalangan. Wanuraini telah pergi buat selama-lamanya tanggal 31 Ogos. Sekeping kad hari jadi yang mempunyai gambar mereka sekeluarga dan topi yang terukir nama Zamarul, Akiff Afiff dan Wanuraini diberi kepada Akiff yang disatukan di dalam sebuah kotak yang dililit sehelai bendera Malaysia.
“ Kakak, kenapa ramai orang datang? Mama kan sedang tidur. Kakak, kaki Akiff sakitlah. Ada luka,” seisi rumah yang mendengar omelan si kecil itu terkesima. Begitulah.